Wednesday 15 February 2012

~SETANGGI CINTA~


::AS IF YOU CAN SEE HIM::
{كـأنك تراه}

It’s a bird; it’s a plane, no! It’s Superman!!!
Pasti ada yang pernah mendengar tagline seperti yang di atas.Kalau masa kecil-kecil dulu, masa zaman-zaman suka tengok cerita kartun atau superhero-superhero kuat dan gagah mesti kenal tagline itu.Siapa yang tidak kenal Superman.Hero kacak boleh terbang, tengok benda dari jauh.Atau Batman mungkin, hero kelawar yang suka keluar selamatkan orang malam-malam.Ultraman 5 bersaudara (erk?), gagah menghapuskan raksasa-raksasa jahat yang cuba mengugat keamanan negara.Dan banyak lagi sebenarnya kalau hendak disebut.Kita semua kenal mereka mungkin.Tapi, bukan pula mereka yang menjadi cerita entri saya kali ini.Bukan Superman, Batman atau Ultraman.Entri kali ini saya tulis sebagai perkongsian dengan sahabat-sahabat berkenaan dengan seorang lelaki yang lebih 1000 kali gagah dan kuat dari superhero-superhero yang kita pernah kenal tapi tak pernah wujud itu.Lelaki yang Allah utus untuk sekalian alam.Memberi petunjuk kearah kebaikan.Menghapus kejahatan, kezaliman, penindasan dan segala yang berkaitan dengannya.Lelaki yang terlalu merendah diri tatkala di puji, terlalu bersabar tatkala diuji, terlalu penyayang tatkala berkasih sayang.ALLAH~ Dia sungguh mulia.Allah telah pun berjanji meletakkan makamnya di tempat tertinggi di dunia mahupun di akhirat sana.Dialah KEKASIH ALLAH, Insan agung, Junjungan tercinta, Nabi kita Muhammad Bin Abdullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

بسم الله الرحمن الرحيم
Selawat dan salam buat baginda junjungan.
Bagaimana harus saya mulakan?Begitu banyak yang terlintas dibenak ketika memikirkan apa isi yang ingin saya tulis untuk entri istimewa ini kerana saya yakin, yang bakal membacanya juga adalah mereka yang kenal Nabi kita.Kenal, cinta dan rindu akan Baginda.Tapi saya, mungkin terkadang lalai untuk setiap saat memikirkan Baginda.Allah~ kerdil sungguh diri ini bila memikirkan cinta para sahabat terhadap baginda.Malu pabila ingin menulis dan menukilkan isi entri ini.Takut-takut ia memakan diri.Ketika mencari isi entri di laman-laman sesawang Allah mengilhamkan dan memberi kesempatan terbaca dan membaca sesuatu yang seakan memahami isi hati ketika mahu mula menulis tentang kekasih Allah yang agung ini.Saya meminjam beberapa baris tulisan, kata-kata dari Dr. Ahmad Muhammad Al-Hufy.Sebelum beliau menulis tajuk من أخلاق النبي beliau memulakan tulisannya dengan penuh kerendahan hati ;


"Ya Rasulullah junjunganku! Apakah kata-kata yang tidak berdaya ini mampu mengungkapkan ketinggian dan keluhuranmu? Apakah penaku yang tumpul ini dapat menggambarkan budi pekertimu yang mulia? Bagaimana mungkin setitis air akan sanggup melukiskan samudera yang luas? Bagaimana mungkin sebutir pasir akan mampu menggambarkan gunung yang tinggi? Bagaimana mungkin sepercik cahaya akan dapat bercerita tentang matahari? Sejauh yang dapat dicapai oleh sebuah pena, hanyalah isyarat tentang keluhuran martabatmu, kedudukanmu yang tinggi, dan singgahsanamu yang agung"


Allah~ Terasa betapa masih jauh lagi bukti kecintaan saya terhadap Baginda SAW.
Namun saya niatkan moga entri ini menjadi wasilah saya untuk mengingatkan diri agar tidak pernah lupa berselawat dan terus rindu pada Baginda Nabi.InsyaAllah.Juga buah tangan buat sahabat yang sudi membaca agar sama-sama turut rindu dan cinta pada Baginda.Amin.

Baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ada bersabda yang mafhumnya ;
"sesungguhnya orang yang paling dekat denganKu
pada hari kiamat adalah 
orang yang paling banyak berselawat kepadaKu."

Telah jelas terang lagi bersuluh, bahawa barangsiapa yang tidak pernah lekang dari mengucapkan selawat ke atas Baginda Junjungan akan berada dekat dengan Baginda kelak.Dikurnia syafaat dari Baginda malah, Allah dan para malaikat juga menjanjikan kesejahteraan buat kita.

33:56

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Al-Ahzab: 56)


CINTA SAHABAT CINTA AGUNG



Kecintaan Seorang Sahabat ra.
Dari 'Aisyah r.a katanya, "Ada seorang lelaki datang kepada Nabi SAW seraya berkata, "Wahai Rasulullah engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri dan engkau lebih aku cintai daripada orang tuaku. Jika aku berada di rumah, aku sentiasa merindukanmu dan tak sabar untuk secepatnya dapat bertemu dan melihatmu. Dan apabila aku teringat kematianku dan kematianmu, tetapi aku tahu engkau kelak dimasukan ke dalam surga, tentunya engkau akan ditempatkan di surga yang paling tinggi beserta para Nabi. Sedangkan jika aku dimasukkan ke dalam syurga, aku takut jika kelak tidak dapat melihatmu lagi". Nabi SAW tidak menjawab ucapan orang tersebut sampai Jibril menurunkan firman Allah,

4:69

Ertinya: Dan barang siapa mencintai Allah dan Rasul-Nya mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah iaitu Nabi-nabi, para Siddiqiin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang soleh. Dan merekalah teman yang sebaik-baiknva. (An Nisaa': 69)

Dan lagi, Saidina Umar al-Khattab ada mengisahkan: “Saya berjalan bersama-sama Nabi SAW sambil diiringi sahabat yang lain. Kemudian baginda berjalan memimpinku. Umar pun berkata: Demi Allah, wahai Rasulullah, sesungguhnya aku benar-benar menyintaimu.” 
Hebat sekali sentuhan kasih sayang antara sahabat terhadap Rasulullah SAW.
Dilanjutkan kisahnya, Nabi SAW pun berkata: “Melebihi cintamu kepada orang tuamu, wahai Umar? Umar pun menjawab: Ya Rasulullah. Kemudian, Nabi SAW bertanya lagi: Melebihi cintamu kepada hartamu, wahai Umar? Umar mengatakan: Ya Rasulullah. Nabi SAW meneruskan lagi pertanyaan kepada sahabatnya itu: Melebihi dirimu, wahai Umar? Umar berkata: Tidak.” 

Seketika kemudian Nabi SAW pun mengatakan kepada Umar: “Tidak wahai Umar. Tidak sempurna imanmu sampai engkau menyintaiku melebihi dirimu sendiri.” Umar pun keluar buat sementara sambil berfikir, kemudian kembali dengan begitu semangat lalu berkata: “Demi Allah, wahai Rasulullah. Sungguh aku menyintaimu melebihi diriku sendiri.”
Mendengar pengakuan daripada Umar itu, Nabi saw pun berkata: “Sekarang, wahai Umar (baru benar).”
Begitulah beberapa kisah kecintaan para sahabat terhadap Baginda Rasul Sallahu Alaihi Wasallam.
Namun, diri ini terfikir, bagaimana pula aku? Bagaimana pula kita?

MUHASABAH CINTA




Ini bukan semata tajuk lagu.Mencintai dan mengasihi Baginda Rasulullah adalah sebuah prinsip dan kewajiban bagi setiap muslim, bukan sebuah pilihan yang samada mahu atau tidak. Terhadap Baginda Nabi Muhammad SAW, seorang Muslim harus menyimpan rasa cinta biarpun kecil. Ini kerana cinta dan kasih sayang merupakan dasar dan landasan ke arah melahirkan umat Muhammad SAW seperti yang telah diteladani oleh para sahabat RA.

Mencintai Baginda Nabi itu boleh bermacam cara.Sukar untuk saya ungkapkan satu persatu kerana terlalu banyak mungkin yang sahabat-sahabat tahu cuma terkadang lupa untuk melaksanakan, termasuklah saya.Namun, kalau boleh ditulis di sini sebagai ingatan antara yang boleh kita lakukan :

1. Sabda Baginda Nabi SAW ;"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku.Dan sesiapa yang mencintai aku, nescaya dia bersama-sama aku di dalam syurga.." [HR Al-Sajary daripada Anas]
Jom sama-sama hidupkan sunnah Baginda.Kalau tak mampu buat banyak, mulakan dengan yang sedikit.Dan yang sedikit disertakan istiqamah itu lebih baik dari yang banyak tetapi ditinggal-tinggal.(Rabbuna Musta'an).

2. Sabda Rasulullah (S.A.W.) juga yang bermaksud: “Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali”. [Hadith riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a]Nah sahabat-sahabat.Baginda juga menjamin, bagi siapa-siapa yang berselawat dan menyebut-nyebut serta mengingati Baginda adalah dari kalangan mereka yang Allah beri kelebihan.Allah~Azim kan kasih Nabi pada kita? Selalu kalau kita sayang pada seseorang sering kita sebut dan ingat akan dia, jadi apalah kiranya kita sediakan satu ruang ingatan itu khas untuk Nabi kita yang juga sentiasa tidak pernah lupa akan umatnya.

3. Mengasihi dan menyayangi ahli bait dan para sahabat Baginda Nabi SAW.
Katakanlah kalau kita menyayangi sahabat kita, kita juga pasti hormat dan sayang akan keluarganya.Begitulah juga dengan keluarga dan para sahabat Baginda.Malah lebih lagi.

4. "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk" [Al-Alaq: 1]. Masih ingatkan kisah penurunan wahyu kepada Baginda.Belajar masa zaman kanak-kanak dulu (seperti yang termaktub dalam sukatan pelajaran KAFA) hinggalah ke hari ini.Jelas, Al-Quran adalah mukjizat terbesar yang Allah beri kepada Baginda SAW.Kemudian disampaikan pula kepada kita.Jadi, adalah menjadi tugas kita pula untuk menjaganya, mengamalkannya, membacanya serta tadabbur dan faham isinya.Memang, terkadang payah untuk memaksa diri sentiasa membacanya tapi, ingatkan hati bahawa Al-Quran itu penawar.Al-quran itu hadiah.Rugi kalau kita tak hargai hadiah Allah.Biarpun 5 minit, insyaAllah takkan rugi.Kan "sikit-sikit lama-lama jadi bukit" ^_^


B A C A L A H!

5. 
33:21

"Sungguh, telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu.Iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengigati Allah" [Al-Ahzab:33].
Berakhlaklah dengan akhlak yang mulia kerana Nabi kita suka.Apa yang disukai Nabi itulah yang disukai Allah.Moga-moga dengan akhlak yang mulia dan baik menjadi tanda cinta kita pada Baginda.
 Ehem..ehem..
"Tidak rugi kita berakhlak mulia, malah Allah lebih-lebih lagi suka,
beradab sopan kita sentiasa, mari bersama mengamalkannya"
Ini lirik nasyid adik-adik kecil.Mereka pun ajak kita semua berakhlak mulia sebab berakhlak mulia itu disukai Allah dan NabiNya.JOM!!

Last but not least, 
Seorang penyair Arab ada bermadah ;

لو كان حبّك صادقا لأطعته 
انّ المحبّ لمن يحبّ مطيع

Sekiranya cintamu itu benar, nescaya engkau akan mentaatinya,
Kerana orang yang mencintai tentu akan mentaati orang yang dicintainya.

Cinta kepada Baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam itu bukanlah hanya pada lantunan merdu alunan nasyid, ataupun dendangan syair-syair indah semata.Namun, yang paling penting adalah kata-kata dan janji setia terhadap Baginda haruslah seiring dan sejalan dengan hati.Jangan dipisahkan janji cinta itu dari hati.Sambut dan balaslah wahai diri, cinta Nabi Agung, Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam dengan penuh ikhlas dan rendah diri.





Harapan, moga-moga entri yang saya kira istimewa ini mampu memberi sedikit sebanyak manfaat terutamanya pada diri dan sahabat-sahabat.Moga ungkapan kecintaan dan kerinduan ini bukan hanya manis dibibir bahkan, sentiasa bersemi di taman hati.Dan telah jelas, Bagindalah superhero yang lebih-lebih patut kita sanjungi.

{Allah, sampaikan salam kami pada KekasihMu.Semaikan hati-hati kami dengan rasa cinta dan rindu mendalam padaMu dan KekasihMu.Amin}

{Ya Rasulullah, syafaatkan kami.}

اللهم صلى على سيّدنا وحبيبنا محمّد صلى الله عليه واله وسلّم

“Your face is bright like the shining moon,
Lighting up darkness of the night,
We are here, we think of you,
Oh Muhammad Rasulullah.”


*Menulis bukan hanya suka-suka.Tapi ia saya anggap sebagai sebuah perkongsian.Yang nanti manfaatnya dapat kita ambil sama-sama.Walaupun tahu tulisan ini biasa-biasa sahaja.
Wallahua'lam.

---------------------------------------------------------------------------------------------
               :  Buku Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam : As if You Can See Him; Dr 'Aid Al-Qarni

No comments:

Post a Comment

Sharing is Caring~ :)